Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Khamis, 23 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sesi Ke-38 Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bagi Asia dan Pasifik (APRC), hari ini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di The Empire Brunei dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Ketua Pengarah FAO, Tuan Yang Terutama Dr. Qu Dongyu.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan seterusnya bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa persidangan ini berlangsung pada saat yang semakin mencabar bagi rantau kita.
Sembah Yang Berhormat, kita berdepan dengan kesan gabungan perubahan iklim, tekanan terhadap sumber, serta rantaian bekalan global yang terus berkembang dan cabaran-cabaran ini memerlukan bukan sahaja pertimbangan yang teliti tetapi juga iltizam kolektif.
“Tanggungjawab bersama kita adalah jelas, iaitu untuk memperkukuh keselamatan makanan dan memastikan masa depan yang lebih berdaya tahan bagi rantau kita. Ini memerlukan kita bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi juga memajukan penyelesaian praktikal yang terselaras serta mampu dilaksanakan," sembah Yang Berhormat.
Selaku Menteri-menteri, sembah Yang Berhormat lagi, kita diamanahkan untuk memastikan bahawa perbincangan menghasilkan keputusan yang jelas dan bermakna, yang responsif terhadap keutamaan nasional sambil mengukuhkan kerjasama serantau.
Dalam melaksanakan hal ini, sembah Yang Berhormat, keputusan kita mestilah pragmatik dari segi pendekatan, inklusif dari segi perspektif dan berpandangan jauh dari segi hala tuju. Ini penting bagi mencerminkan kepelbagaian rantau kita sambil memajukan matlamat bersama.
Yang Berhormat juga menyembahkan, persidangan ini menyediakan platform penting untuk kita menilai kemajuan, berkongsi pengalaman praktikal serta memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian, perikanan dan perhutanan.
“Usaha kolektif kita akan menyumbang secara bermakna ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya dalam memperkukuh keselamatan makanan, meningkatkan daya tahan dan memperbaiki taraf hidup di seluruh rantau Asia dan Pasifik.
“Di Negara Brunei Darussalam (NBD), negara kekal komited untuk memajukan sistem agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan serta berharap untuk memperkukuh kerjasama dengan semua pihak dalam usaha bersama ini," sembah Yang Berhormat.
Teras kepada perbincangan ini, sembah Yang Berhormat lagi, ialah satu objektif bersama: membina sistem agromakanan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk generasi masa kini dan akan datang.
Walaupun agenda yang perlu dilaksanakan adalah luas, Yang Berhormat yakin bahawa dengan berpandukan tujuan bersama dan semangat kerjasama, perbincangan kita akan menghasilkan keputusan yang bermakna dan berpandangan ke hadapan.
Yang Berhormat berharap, persidangan ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama kita, malah menegaskan semula iltizam kolektif kita untuk mencapai kemajuan yang nyata dan berkekalan demi rakyat dan rantau kita.
Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga berkenan mengurniakan sabda perasmian bagi membuka secara rasmi APRC Ke-38.
Majlis turut diisikan dengan ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah FAO yang antara lain menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh sektor agrimakanan dan memastikan keterjaminan makanan global.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung bagi Santap Ringan sebelum dijunjung bagi Sesi Sembah Kenal bersama Ketua-ketua Delegasi Negara-negara Anggota FAO. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menyertai sesi bergambar ramai.
NBD, melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi Sesi Ke-38 FAO APRC. Persidangan ini menyediakan platform rasmi bagi Menteri-menteri dan pegawai kanan untuk membincangkan isu keselamatan makanan serta merangka hala tuju strategik bagi meningkatkan kerjasama serantau dan kesepaduan dalam sektor pertanian di peringkat global.
Persidangan ini secara lazimnya diadakan setiap dua tahun dan dihadiri oleh 46 buah Negara Anggota FAO. Pemilihan NBD sebagai tuan rumah bagi persidangan kali ke-38 ini, merupakan suatu penghormatan, memandangkan ini adalah julung kali negara menjadi tuan rumah.
Penganjuran ini membuka peluang kepada NBD untuk mempamerkan keunikan tradisi, makanan dan sektor pertanian di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dengan Negara-negara Anggota FAO. APRC tahun 2026 turut bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Penubuhan FAO.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)